Program Young Meet Young Anjuran GMB

Program 'Young Meet Young' selama satu hari di MS Garden Kuantan telah dihadiri oleh lebih dari 100 usahawan dan peniaga dari seluruh Pahang.

Program yang bermula sejak pukul 9.00 pagi ini telah dibahagi kepada 4 sesi penerangan yang sarat dengan maklumat berguna untuk usahawan dan peniaga. 


Sesi pagi dimulakan dengan penerangan dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Unit Kewangan dari Bank Simpanan Nasional. Manakala sesi petang pula dipenuhi dengan maklumat dari MATRADE dan berakhir dengan sesi soal jawab dan timbal balik antara peserta dengan pihak penganjur.

Sesi bersama SPRM bertujuan untuk melahirkan generasi usahawan muda yang mementingkan nilai-nilai integriti dan keusahawan tulen dalam perniagaan. Menjalankan perniagaan yang mementingkan mutu produk dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan harga yang ditawarkan. Mengelak dan mencegah unsur-unsur yang membawa kepada gejala rasuah dalam perniagaan. Pelbagai persoalan diajukan kepada penceramah semasa sesi ini.

Unit Kewangan BSN pula membuka sesinya dengan memperkenalkan kelebihan kad kredit BSN untuk usahawan semua. Disusuli dengan maklumat mengenai pinjaman mikro yang boleh diberikan kepada para usahawan yang memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Kemudahan mikro adalah untuk peniaga yang komited sepenuhnya kepada perniagaan mereka. Ianya diharapkan untuk memudahkan peniaga membeli peralatan tambahan serta memperkemaskan lagi produk-produk yang ada. Had untuk pinjaman adalah sebanyak RM50 ribu sahaja.

Wakil dari MATRADE pula menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan dengan peluang-peluang yang ada untuk para usahawan mengekspot produk mereka ke luar negara. Turut disentuh mengenai kemudahan geran kerajaan untuk para usahawan, di mana dengan adanya geran ini, para usahawan hanya perlu menanggung sebahagian kos sahaja semasa melakukan promosi produk di luar negara. Sebahagian lagi adalah ditanggung oleh kerajaan melalui geran yang disediakan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato Mustaffa Long selaku wakil khas Menteri Besar Pahang. Dalam ucapannya, Dato Mustaffa mencadangkan beberapa idea kepada para usahawan. Antaranya menjadikan produk tempatan keluaran anak Pahang diperkenalkan secara meluas kepada pelancong dan mereka yang berkunjung ke Pahang. Produk yang dimaksudkan adalah seperti songket dan gula kabong. Produk-produk lain yang dikeluarkan oleh anak watan Pahang juga perlu dikomersialkan.


Beliau juga ada menyarankan supaya diwujudkan satu tempat yang strategik di Pahang, khususnya di Kuantan untuk dijadikan sebagai pusat pengumpulan produk-produk yang dikeluarkan oleh rakyat Pahang. Apa saja produk yang dikeluarkan oleh anak watan Pahang dikumpulkan pada satu tempat. Ini akan memudahkan urusan pemasaran dan juga urusan jual beli untuk produk berkenaan. Secara tidak langsung dapat membantu memajukan bidang dan kemahiran tersebut dan membuka ruang pendapatan tambahan kepada mereka yang terlibat. Ianya memerlukan kepada kesungguhan untuk memainkan peranan supaya impian dan harapan tersebut dapat direalisasikan. 

Majlis yang berakhir pada pukul 5.00 petang ini berakhir dengan beberapa cadangan yang bernas dari peserta. Antaranya ialah cadangan untuk menubuhkan koperasi GMB, kaedah mengumpul dana melalui projek khas dan juga mengadakan karnival usahawan yang mempunyai 150 booth. Kerjasama di antara peserta-peserta semua juga telah mewujudkan satu rangkaian baru di antara mereka. Encik Othman yang mengusahakan produk zeolife telah mendapat beberapa rakan yang telah sudi untuk menjadi pengedar kepada produk tersebut. Syabas diucapkan kepada Encik Othman kerana telah berjaya memanfaatkan peluang dan ruang yang ada di GMB.

  


Tags: ,

Perihal pemilik blog

Mula melibatkan diri dalam perniagaan internet sejak tahun 2006. Sekarang menjadikan internet dan komputer sebagai alat untuk mencari dan meningkatkan pendapatan secara sepenuh masa. Di bawah label MalayShops, kami menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat untuk peniaga-peniaga Melayu yang tiada masa, pengalaman, kewangan dan sebagainya untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka.