Biar Cacat Di Luar, Jangan Cacat Di Dalam

Cacat atau tidak sempurna boleh membawa pelbagai maksud. Selalunya cacat dikaitkan dengan kecacatan secara fizikal. Apabila disebut sebagai orang cacat, selalunya dalam kepala kita terbayangkan orang yang cacat secara fizikal.


Tetapi adakah orang yang tidak cacat di mata kasar sebenarnya orang yang sempurna ? Sempurna dari segi fizikal tetapi adakah sempurna juga di segi kerohaniannya ? 

Melihat kepada situasi sekarang, sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan juga universiti, karakter pelajar-pelajar ini kadangkala amat menakutkan. Situasi pelajar sekarang amat berbeza dengan situasi belajar di zaman dulu kala. Adakah ini kemajuan yang kita cari untuk kita dan keluarga ? 

Kes-kes seperti buli membuli sejak dulu pun memang dah ada. Cuma ianya tidak keterlaluan seperti sekarang. Buli membuli selalunya berlaku pada pelajar yang tinggal di asrama sekolah. Tetapi bukan semua asrama sekolah yang terlibat. Hanya berlaku di beberapa sekolah yang tertentu dan tidak pula dihebohkan di akhbar dan berita. 

Tetapi hari ini, bukan sahaja kes buli membuli berlaku di sekolah menengah bahkan pelajar di sekolah rendah juga sudah mula adanya kejadian seperti ini. Kes yang lagi teruk melibatkan kes seperti rogol dan liwat. Di sekolah rendah pun sudah adanya kes-kes seperti ini. Lagi menakutkan bila mangsa rogol dan liwat di bunuh. Apa perasaan anda sekiranya anda adalah ibubapa kepada pelajar yang menjadi mangsa ? Apa pula tindakan anda sekiranya anda adalah ibubapa kepada mereka yang melakukannya ? Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak. Sama ada mangsa atau mereka yang melakukannya. Bertahun kita dinasihatkan supaya "jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu..." sebagaimana dalam Al-Quran juga ada dinyatakan....

"Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka"

Mungkin anda juga pernah terbaca di mana-mana. Dari apa yang dinyatakan dalam Al-Quran, jelaslah bahawa kita perlu mengambil perhatian yang serius mengenai keselamatan kita dan ahli keluarga kita terlebih dahulu. Ini kerana jika kita sakit, bagaimana pula kita hendak menjaga orang-orang yang berada di sekeliling kita. Dan bila kita sihat, ini akan memudahkan kita untuk berurusan dengan sesiapa sahaja dan menjaga orang-orang yang berada dalam kelompok masyarakat kita.

Biar cacat di luar jangan cacat di dalam yang saya maksudkan di sini ialah mengenai tingkahlaku manusia yang saya jumpa setiap hari. Ramai di antara kita semua suka mengkritik mengenai keburukan orang lain. Semua orang tidak betul. Ini salah itu salah. Apabila ditanya apakah cadangan yang boleh dikemukakan untuk menyelesaikan masalah tersebut, tak ada pulak ideanya. Padahal, tidak semua perkara itu teruk. Cuma mungkin tidak memenuhi citarasa sesetengah orang, maka itu tidak elok dan ini pun tak bagus. Itulah sikap manusia yang saya jumpa setiap hari. 

Biar cacat di luar yang saya maksudkan ialah biarlah orang lain melihat kita sebagai tidak berguna kepadanya. Asalkan kita tau kelebihan dan harga diri kita dan kita sentiasa melakukan perkara-perkara yang betul yang boleh menyumbang kebaikan kepada diri sendiri dan juga masyarakat di sekeliling. Biarlah orang yang tidak tahu menilai kebaikan kita itu dengan dunianya yang tersendiri. Tidak ada untungnya jika kita selalu memikirkan perkara yang tidak bermakna bagi diri kita. Asalkan kita tahu yang kita tidak melakukan apa-apa kesilapan padanya, maka langkah terbaik ialah menjauhkan diri kita dari orang seperti ini.

Jangan cacat di dalam pula saya maksudkan sebagai orang yang lebih sempurna keperibadiannya. Sikap dan kerohaniannya yang boleh membuatkan orang suka untuk berurusan dengan kita. Tetapi kita tidak mampu untuk membuatkan semua orang agar suka kepada kita. Itu adalah lumrah dalam kehidupan. 

Oleh itu, sekiranya kita rasakan diri kita ada banyak kelemahan dari segi fizikal, cubalah kemaskan diri secara kerohaniaan. Keperibadiaan yang baik akan membuatkan lebih ramai orang akan suka kepada kita. Secara tidak langsung akan menutup kelemahan fizikal kita. Kerana setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan yang tidak sama. 

Biar cacat di luar, jangan cacat di dalam... biarlah orang menganggap kita sebagai tidak berguna padanya, asalkan kita tahu bahawa kita juga ada kelebihan yang hanya orang tertentu sahaja dapat menilainya.

Tags:

Perihal pemilik blog

Mula melibatkan diri dalam perniagaan internet sejak tahun 2006. Sekarang menjadikan internet dan komputer sebagai alat untuk mencari dan meningkatkan pendapatan secara sepenuh masa. Di bawah label MalayShops, kami menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat untuk peniaga-peniaga Melayu yang tiada masa, pengalaman, kewangan dan sebagainya untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka.