Lakukan jualan dengan hati yang ikhlas



Tahniah. Anda berjaya menjual !!!

Bukan perkara yang mudah untuk melakukan jualan. Ianya memerlukan kemahiran yang tersendiri. Jadi tak hairanlah sekiranya apabila kita mengajak orang berniaga dan orang tu dengan selamba jer cakap, 'maaf, tak minat bisnes'.

Berniaga bukan perkara yang mudah. Banyak perkara perlu diambil kira sebelum memulakannya. Kalau anda takut kepada risiko kerugian, lebih baik cari kerja makan gaji sahaja. Ini kerana setiap bulan poket anda sudah tentu berisi dengan wang ringgit. Amat berbeza dengan berniaga sendiri.

Berniaga selalunya dikaitkan dengan aktiviti pemasaran dan jualan. Aktiviti pemasaran merangkumi pelbagai aspek yang berkaitan dengan memperkenalkan perniagaan anda kepada masyarkat di luar sana. Manakala aktiviti jualan pula berkaitan dengan untung ruginya produk dan perkhidmatan anda kepada perniagaan. Kedua-dua aktiviti ini saling memerlukan untuk memastikan perniagaan anda akan terus maju, bertahan atau menunggu masa untuk menamatkan perniagaan.

Bahagian pemasaran dan jualan selalunya di anggap sebagai enjin kepada sesebuah syarikat atau organisasi perniagaan. Jualan selalunya melibatkan keuntungan dan juga kerugian yang bertindak sebagai tempat utama sumber kewangan perniagaan. Bekerja di bahagian jualan selalunya mudah stress jika anda adalah orang yang kurang menyumbang. Ini kerana, jika tiada jualan dilakukan maka tiada keuntungan di bawa masuk kepada perniagaan. Tak jual tak ada untung. Modal pun tak dapat. Jadi, jika tiada jualan dilakukan, maka yang ada hanyalah kerugian.

Bagaimana melakukan jualan dengan baik ? Adakalanya orang mudah menjual dan ada juga orang yang susah nak jual walaupun hanya satu barang. Bahkan ada juga produk yang kita beri percuma pun orang tak nak ambik. Apa yang tak kena ? Adakah produk atau perkhidmatan kita tak bagus ? Adakah sebab orang yang kita jumpa tu tak ada duit ? Atau apa sebenarnya yang menghalang kita dari mendapat keuntungan dari jualan produk yang kita anggap diperlukan oleh semua orang yang kita jumpa ini ?

Jualan bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan semata-mata sahaja ! Ianya adalah lebih dari itu. Dari aspek psikologi, anda harus membuatkan seseorang bakal pembeli itu menyukai anda terlebih dahulu. Setelah anda berjaya menarik hati bakal pelanggan, proses seterusnya akan menjadi lebih mudah. Sudahkah anda melakukan perkara ini sewaktu membuat jualan ?

Kunci asas kepada sesuatu jualan pada pandangan peribadi saya ialah anda harus membuat seseorang itu suka kepada anda terlebih dahulu. Ini kerana jika seseorang bakal pembeli itu tidak menyukai anda, apa saja yang anda akan jual atau ceritakan padanya tidak akan menghasilkan apa-apa manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Lagi membuang masa kerana apa yang anda sampaikan padanya mungkin tak masuk dalam kepala dia. Jauh sekali untuk memberi perhatian kepada anda.

Jadi lakukan perkara asas ini terlebih dahulu. Bagaimana anda mampu membuatkan seseorang itu berasa seronok dan suka kepada anda ? Anda perlu menilai terlebih dahulu kekuatan dan kelemahan anda. Gunakan kelebihan yang anda ada dan perbaiki kelemahan dan juga kekurangan setiap masa. Antara kekuatan yang mungkin ada bagi sesetengah orang ialah mempunyai kereta, mempunyai ramai kawan, tiada masalah kewangan, bebas bekerja tanpa mengira masa, berdikari dan macam-macam lagi. Kelemahan pula antaranya tiada kenderaan, masalah kewangan, tiada handphone, waktu bekerja yang terhad dan lain-lain.

Jadi, sebelum anda keluar untuk melakukan aktiviti jualan, buat semakan terlebih dahulu sama ada pakaian anda sesuai tak arini untuk berjumpa dengan orang ramai. Sesuaikan diri anda dengan persekitaran jualan anda. InsyaAllah, jika seseorang itu menyukai anda, apa saja yang anda jual hari ini akan memberikan anda hasil dan juga keuntungan.

Selamat mencuba.
Tags: ,

Perihal pemilik blog

Mula melibatkan diri dalam perniagaan internet sejak tahun 2006. Sekarang menjadikan internet dan komputer sebagai alat untuk mencari dan meningkatkan pendapatan secara sepenuh masa. Di bawah label MalayShops, kami menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat untuk peniaga-peniaga Melayu yang tiada masa, pengalaman, kewangan dan sebagainya untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka.