Sejauh manakah benarnya KASIH SAYANG membantu meningkatkan KESIHATAN ?

Percaya tak kalau saya kata kasih sayang boleh membuat seseorang itu kekal sihat? Percaya atau tidak itulah hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh beberapa pakar kesihatan. Kajian yang dijalankan mendapati bahawa kasih sayang dapat memberi kekuatan kepada sistem imun, pertahanan badan daripada serangan penyakit.

"Apabila anda merasa diri dikasihi, ditatang, dijaga atau dibantu, kemungkinan besar anda akan hidup lebih sihat dan gembira," kata Dr. Dean Ornish. "Anda mempunyai risiko rendah mendapat penyakit dan, jika anda mendapat penyakit, mempunyai peluang yang lebih baik untuk sembuh".

Ini pula pengalaman seorang doktor di Malaysia:

"Seorang wanita berusia pertengahan 30 tahun datang berjumpa saya kerana masalah asma. Beliau tidak pernah mendapat asma sebelum ini. Apabila saya periksa, saya dapati beliau mempunyai gejala asma bronkus. Saya berikan dia ubat asma dan meminta dia datang semula dalam masa seminggu untuk pemeriksaan lanjut.

Selepas seminggu saya dapati tiada perubahan dan saya memberinya ubat lain. Seminggu kemudian dia datang lagi, juga tiada apa-apa perubahan. Nafasnya masih lagi berdesit bunyinya.

Saya bertanya apa yang berlaku sebelum beliau mendapat asma dan beliau terus menangis...

Rupanya beliau telah keguguran dua minggu sebelum mendapat serangan asma. Beliau menyalahkan diri sendiri di atas apa yang telah terjadi. Untuk memburukkan lagi keadaan, suami beliau enggan bercakap dengan beliau selepas kejadian itu.

Saya membiarkan beliau meluah perasaan dan kesedihan beliau. Sehelai demi sehelai tisu dihabiskannya. Kemudian saya beri keyakinan bahawa beliau tidak bersalah dalam hal ini.

Sebulan kemudian beliau kembali ke klinik saya dan memberitahu asma beliau telah hilang walaupun beliau tidak memakan ubat yang diberikan. Semua gejala asma hilang selepas konsultasi terakhir dengan saya."

Ini bukannya satu-satu kes yang ditangani oleh doktor tersebut. Beliau mendapati ramai lagi pesakit yang mempunyai masalah serupa dan memperolehi hasil yang serupa.

Oleh itu, berilah kasih sayang kepada yang memerlukan. Ia adalah hadiah yang tak ternilai harganya.
Tags: ,

Perihal pemilik blog

Mula melibatkan diri dalam perniagaan internet sejak tahun 2006. Sekarang menjadikan internet dan komputer sebagai alat untuk mencari dan meningkatkan pendapatan secara sepenuh masa. Di bawah label MalayShops, kami menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat untuk peniaga-peniaga Melayu yang tiada masa, pengalaman, kewangan dan sebagainya untuk mengembangkan produk dan perkhidmatan mereka.